Sedikit info mengenai Memorial Tunku Abdul Rahman Putra dari laman web rasmi Arkib Negara Malaysia
Memorial Tunku Abdul Rahman Putra telah dibuka dengan rasminya oleh Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada 10 November 1994. Memorial ini diwujudkan sebagai memperingati dan mengenang jasa dan sumbangan bakti Tunku sebagai “Bapa Kemerdekaan” dan juga Perdana Menteri Malaysia yang pertama (1957 – 1970). Memorial ini mempamerkan semua warisan berkaitan dengan Tunku yang terdiri daripada pelbagai bahan seperti dokumen, gambar, hadiah, keratan akhbar, baju dan perabot. Terdapat juga sudut tayangan audiovisual mengenai Tunku.
Kesemua bahan yang dipamerkan adalah berdasarkan kepada tema-tema tertentu bagi tujuan memudahkan pelawat mengenali Tunku secara peribadi. Antara tema-tema tersebut adalah Tunku dan Kemerdekaan, Falsafah/Konsep Tunku serta Biografi Tunku. Selain dari itu turut dipamerkan adalah Bangunan Pejabat Lama Tunku ketika beliau menjadi Perdana Menteri. Pelawat juga boleh melihat sendiri Bangunan Residensi yang didiami oleh Tunku dari tahun 1956 sehingga 1970. Bangunan Residensi ini menjadi daya tarikan kepada pelawat kerana bangunan yang berusia lebih 100 tahun ini masih dikekalkan bentuk asalnya serta kedudukan susun atur dalamannya. Terdapat juga pameran di bahagian luar dimana yang paling menarik adalah kereta Cardillac Fleetwood 1959 yang digunakan oleh Tunku. Kemudahan perpustakaan dan kedai cenderamata turut disediakan.
0 Ulasan:
Catat Ulasan