Selasa, 4 Januari 2011

Apabila konsep kejiranan dipolitikkan

Gambar hiasan semata-mata

Setelah beberapa bulan tidak kembali ke daerah yang mengimbau banyak kenangan silam suka dan duka ketika kecil, akhirnya menjejakkan kaki semula ke sana atas beberapa urusan. Sahabat saya bertunang pada 1 Januari 2011 (1.1.11) (tahniah bro.. cepat-cepatlah nikah) dan jamuan ringkas sempena meraikan anak murid bekas guru tuisyen saya yang kebanyakannya meraih kejayaan dalam peperiksaan PMR.
Tetapi ini bukanlah isu yang hendak disampaikan tetapi adalah lebih berkisar kepada kehidupan jiran tetangga dirumah keluarga sahabat saya yang saya sangkakan aman rupanya penuh dengan konflik yang tidak sepatutnya berlaku.

Mendengar permasalahan yang berlaku disuatu lorong yang hidup berjiran menjadi suatu yang sangat mencabar apabila politik diadun dengan sebati ke dalam konsep kejiranan dan kini konsep kejiranan tersebut kini telah dicemari dengan teruknya oleh fanatik politik tidak kira dari pihak pemerintah mahupun pembangkang.
Jika jiran tersebut adalah dari Parti A dan dia adalah dari Parti B. Sudah pasti masing-masing akan bergaduh, tidak bertegur sapa hatta jemputan perkahwinan anak pun tidak dipanggil. Begitu hebatnya politik sekarang sejak Tsunami Politik 2008 yang menyaksikan parti pemerintah hilang 2/3 majoriti (rakan saya berkata kerajaan yang tidak mendapat 2/3 majoriti adalah kerajaan yang lemah).
Mungkin ini yang dinanti-nantikan oleh musuh-musuh negara di luar sana yang seronok bertepuk tangan bahawa jarum-jarum halus mereka telah mula berhasil. Dari permusuhan dikalangan jiran-jiran membawa kepada sifat individualistik dan masyarakat yang berpecah belah adalah peluang terbaik bagi mereka untuk menyerang negara ini. Begitu mudah rakyat Malaysia lupa akan sejarah kejatuhan beberapa empayar tersohor disebabkan perpecahan dalaman yang sangat meruncing.
Disaat negara berusaha mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi, perpaduan diantara kaum melayu (majoriti dalam negara ini) semakin berpecah belah dan akan merebak seolah-olah menjadi satu wabak. Jiran sebelah bermasam muka, tidak bertegur sapa. Dari satu lorong ke lorong dan akhirnya kepada kampung ke kampung dan akhirnya akan merebak ke seluruh negara.
INI BUKAN TUNTUTAN AGAMA ISLAM YANG MENGUTAMAKAN PERSAUDARAAN SESAMA ISLAM!
Itu hanyalah satu tuntutan politik yang sangat tidak berhati perut.
Sedarlah wahai saudaraku kita telah ditipu hidup-hidup. Perpaduan semakin berpecah belah.

p/s:  Selamat Tahun Baru 2011..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kritikan anda