Sabtu, 15 Januari 2011

Dunia IT ~ Panduan asas penjagaan perkakasan komputer riba

Creditz to Washington DC Laptop Repair
Penggunaan komputer riba semakin meluas dengan harga yang amat berpatutan dan ramai yang sedia maklum mengenai harga untuk membaiki komputer riba bukanlah murah. Oleh yang demikian sedikit tips penjagaan komputer riba untuk rujukan bersama:

  • Sila buka bateri pada komputer riba anda jika anda menggunakannya dalam tempoh masa yang lama terutama sekali apabila anda menggunakan "adapter".(untuk memanjangkan tempoh hayat bateri).

  • Jika anda selalu menggunakan bateri, pastikan bateri tersebut telah digunakan sepenuhnya sehingga bateri hendak habis, baru dicaj semula. (Boleh digunakan jika jarang menggunakan bateri kerana jika tidak digunakan, bateri pun boleh rosak sebab tidak digunakan).

  • JANGAN suka meletakkan komputer riba di atas sesuatu yang lembut (seperti tilam, bantal dan sewaktu dengannya) kerana akan mengakibatkan kerosakan yang teruk kepada komputer riba tersebut kerana "overheat" (Cuba bayangkan diri anda ditekup dengan bantal. Bagaimana rasanya?).

  • Jika anda berani, bolehlah buka bahagian bawah komputer riba untuk membersihkan habuk-habuk yang terperangkap di dalamnya. (Jika ada waranti, jangan pandai-pandai pula buka, saya tidak akan bertanggungjawab di atas kesilapan tersebut).

  • Dengan sedikit tambahan kewangan, anda boleh membuat "extended warranty" ke atas komputer riba anda dan ia bergantung kepada jenama komputer riba anda. (Anda tidak akan tahu bila komputer riba anda akan rosak, oleh itu sediakan payung sebelum hujan dan sediakan perahu sebelum bah (seperti ayat filem pulak dah)). Akan tetapi ramai penjual komputer riba jarang menceritakan akan kemudahan ini, mungkin strategi perniagaan mereka atau mereka tidak tahu akan kewujudan program ini.

Sedikit info harga "spare part" di kedai potong lowyat (jangan ingat kereta aje ada kedai potong):

lcd/led monitor - RM300 - RM500
papan kekunci - RM300
Leher lcd monitor - RM250 - RM350
inverter - RM70 - RM100
motherboard - RM400 - RM500
bateri komputer riba RM100 - RM200
satu huruf papan kekunci - RM20 - RM30

Perlu diingatkan harga tersebut mungkin berubah dari semasa ke semasa dan mungkin tidak termasuk caj pemasangan apetah lagi model komputer riba tersebut.

p/s: antara peralatan elektronik yang paling sensitif - komputer riba

Rabu, 5 Januari 2011

Edisi karut ~ Cuti sakit punya pasal..


Pada suatu hari, setelah hampir 6 bulan menjalani latihan industri di sebuah syarikat swasta, saya telah pun dijangkiti demam (memang kaw-kaw supervisor bagi kerja.. demam sehari) dan saya pun ke sebuah klinik swasta pada petang hari untuk mendapatkan mc pada hari tersebut (saya demam dan tidak larat untuk ke tempat praktikal). Setelah berjumpa dengan doktor, saya meminta mc untuk satu hari daripada doktor tersebut. Doktor tersebut menengking saya " Kamu baru kerja beberapa bulan dah nak minta mc, macamana nie! umur muda lagi dah pandai minta mc".. Sudahlah demam dapat syarahan percuma dari doktor. Apa punya nasiblah pada hari tersebut.
Bukan sengaja nak minta mc tetapi pelajar praktikal tidak diberi cuti bulanan. Jika ada cuti bulanan sepanjang saya praktikal, sudah tentu saya gunakannya untuk berehat tanpa perlu meminta mc. Disebabkan peristiwa tersebut saya agak fobia untuk meminta mc dari doktor.
Setelah saya bekerja, pada suatu hari saya didatangi demam dan demam saya telah kebah beberapa hari kemudian. Saya ke klinik sekadar untuk berjumpa doktor untuk meminta nasihat mengenai kadar kolestrol, tekanan darah dan sewaktu dengannya. Isu demam dan batuk sekadar sampingan sahaja. Setelah diberitahu yang saya demam dan batuk, doktor tersebut terus bertanyakan kepada saya "nak mc berapa hari nie?". Saya terkedu seketika, senang pula nak dapat mc.Akan tetapi saya menolak pertanyaan tersebut dan sekadar menjawab " Saya cuma nak ubat batuk sahaja, tak perlu kot mc".

Itu antara isu menarik yang terjadi mengenai mc.. aka medical leave ataupun cuti sakit. Ada yang tidak sakit tapi menggunakan cuti sakit sekadar alasan untuk memanjangkan cuti. Sesuatu yang sangat-sangat tidak elok diamalkan. Ianya akan menjadi satu kecurigaan pada pihak majikan ataupun bos apetah lagi jika cuti tahunan belum pun habis, mc telah pun habis. Tidak ke pelik tu. Nak kata dah tua, masih muda lagi. Alasan yang menarik jika mc adalah penyakit cirit-birit. Memang alasan yang terbaik dan selalu digunakan dengan meluas. Jangan sampai terkantoi ambil cuti sakit sedangkan diri tidak sakit, kelak merana diri. Mungkin anda berjaya menipu majikan anda tetapi anda tidak mampu menipu tuhan dan adakah gaji hasil kita menipu itu berkat. Cuti sakit bukan satu hak tetapi satu kemudahan, boleh ditarik bila-bila masa sahaja.

p/s: demam dan batuk disebabkan hujan dan makan daging kambing...

Selasa, 4 Januari 2011

Apabila konsep kejiranan dipolitikkan

Gambar hiasan semata-mata

Setelah beberapa bulan tidak kembali ke daerah yang mengimbau banyak kenangan silam suka dan duka ketika kecil, akhirnya menjejakkan kaki semula ke sana atas beberapa urusan. Sahabat saya bertunang pada 1 Januari 2011 (1.1.11) (tahniah bro.. cepat-cepatlah nikah) dan jamuan ringkas sempena meraikan anak murid bekas guru tuisyen saya yang kebanyakannya meraih kejayaan dalam peperiksaan PMR.
Tetapi ini bukanlah isu yang hendak disampaikan tetapi adalah lebih berkisar kepada kehidupan jiran tetangga dirumah keluarga sahabat saya yang saya sangkakan aman rupanya penuh dengan konflik yang tidak sepatutnya berlaku.

Mendengar permasalahan yang berlaku disuatu lorong yang hidup berjiran menjadi suatu yang sangat mencabar apabila politik diadun dengan sebati ke dalam konsep kejiranan dan kini konsep kejiranan tersebut kini telah dicemari dengan teruknya oleh fanatik politik tidak kira dari pihak pemerintah mahupun pembangkang.
Jika jiran tersebut adalah dari Parti A dan dia adalah dari Parti B. Sudah pasti masing-masing akan bergaduh, tidak bertegur sapa hatta jemputan perkahwinan anak pun tidak dipanggil. Begitu hebatnya politik sekarang sejak Tsunami Politik 2008 yang menyaksikan parti pemerintah hilang 2/3 majoriti (rakan saya berkata kerajaan yang tidak mendapat 2/3 majoriti adalah kerajaan yang lemah).
Mungkin ini yang dinanti-nantikan oleh musuh-musuh negara di luar sana yang seronok bertepuk tangan bahawa jarum-jarum halus mereka telah mula berhasil. Dari permusuhan dikalangan jiran-jiran membawa kepada sifat individualistik dan masyarakat yang berpecah belah adalah peluang terbaik bagi mereka untuk menyerang negara ini. Begitu mudah rakyat Malaysia lupa akan sejarah kejatuhan beberapa empayar tersohor disebabkan perpecahan dalaman yang sangat meruncing.
Disaat negara berusaha mencapai negara maju dan berpendapatan tinggi, perpaduan diantara kaum melayu (majoriti dalam negara ini) semakin berpecah belah dan akan merebak seolah-olah menjadi satu wabak. Jiran sebelah bermasam muka, tidak bertegur sapa. Dari satu lorong ke lorong dan akhirnya kepada kampung ke kampung dan akhirnya akan merebak ke seluruh negara.
INI BUKAN TUNTUTAN AGAMA ISLAM YANG MENGUTAMAKAN PERSAUDARAAN SESAMA ISLAM!
Itu hanyalah satu tuntutan politik yang sangat tidak berhati perut.
Sedarlah wahai saudaraku kita telah ditipu hidup-hidup. Perpaduan semakin berpecah belah.

p/s:  Selamat Tahun Baru 2011..